Nuansa leksikal ‘lembap’ dalam subdialek Kedah (Lexical nuances of “lembap” in the Kedah subdialect)
Main Article Content
Abstract
Dialek terbentuk hasil persempadanan geografi serta pengalaman sosial masyarakat penutur yang akhirnya melahirkan pelbagai variasi bahasa tempatan seperti dialek Kedah. Dalam konteks dialek Kedah, penelitian terdahulu lebih memfokuskan aspek fonologi, sintaksis, geolinguistik dan variasi leksikal, manakala pengkonsepsian makna kata adjektif masih kurang diterokai, khususnya daripada perspektif sosiokognitif. Walaupun ada pengkajian yang menggunakan pendekatan sosiokognitif tetapi tumpuannya kepada leksikal kata kerja. Oleh itu, kajian ini bertujuan menghuraikan pengkonsepsian kata “lembap” dalam subdialek berdasarkan hubungan antara bahasa, masyarakat dan pemikiran. Reka bentuk bentuk kualitatif digunakan berdasarkan kaedah temu bual berstruktur, temu bual tidak berstruktur dan daftar kata terhadap 80 orang informan terpilih. Data kajian dianalisis berdasarkan perspektif sosiokognitif seperti pengalaman sosial, pemerhatian budaya dan pemikiran masyarakat penutur. Dapatan menunjukkan bahawa kata “lembap” divariasikan melalui penggunaan leksikal seperti ghalit, lengai, mekngot dan mandom yang membawa nuansa makna seperti “terleka”, “lalai”, “malas”, “tidak fokus”, “tidak bermaya” dan “suram”. Variasi makna tersebut menunjukkan bahawa konsep “lembap” dalam masyarakat Melayu Kedah lahir daripada pengalaman hidup dan pemerhatian mereka terhadap tingkah laku manusia dalam kehidupan seharian. Selain itu, dapatan turut menunjukkan bahawa makna “lembap” berkembang daripada makna teras kepada domain tingkah laku, emosi dan psikologi, penilaian sosial serta metafora kehidupan harian. Oleh itu, kajian ini bukan sahaja menyumbang kepada pengembangan penelitian dialek Melayu melalui pendekatan sosiokognitif, malah turut memperkukuh dokumentasi khazanah linguistik Melayu tempatan yang mencerminkan hubungan erat antara bahasa, budaya dan pemikiran masyarakat penutur.