Variasi dan proses morfologi kata dasar berunsur intelek dalam komen Facebook (Variations and morphological processes of intellect-based root words in Facebook comments)
Main Article Content
Abstract
Perkembangan teknologi dan peningkatan penggunaan media sosial telah mewujudkan ruang komunikasi yang lebih terbuka, sekali gus menyumbang kepada kelaziman penggunaan kata kasar dalam komunikasi digital. Kajian ini meneliti variasi bentuk dan proses pembentukan kata kasar berunsur intelek bahasa Melayu seperti bodoh, bangang, bengap, bongok, bebal, bahlul, bingai dan gila dalam interaksi pengguna di Facebook. Data dikumpulkan secara kualitatif melalui kaedah pengikisan web terhadap komen-komen dalam tiga hantaran tular di Facebook antara Januari hingga Mac 2025. Sebanyak 4,007 komen telah dianalisis dengan bantuan perisian AntConc versi 4.3.1 untuk mengenal pasti bentuk dan variasi kata kasar berunsur intelek serta kekerapan kemunculannya. Dapatan menunjukkan bahawa bodoh merupakan bentuk paling dominan dengan pelbagai variasi seperti bodo, bodohnya dan kebodohan diikuti oleh kata lain seperti bangang yang hadir dalam variasi ejaan seperti banggang dan vanggang serta gila yang hadir dalam bentuk seperti gile, giler, gilaa dan gilak. Analisis mengenal pasti empat proses utama pembentukan kata kasar berunsur intelek, iaitu penyingkatan, penggandaan, pengimbuhan dan peminjaman. Secara keseluruhannya, kajian ini membuktikan bahawa pembentukan kata kasar di media sosial merupakan proses yang kompleks dan dinamik, sekali gus memberikan sumbangan bermakna kepada bidang linguistik dalam memahami perubahan bentuk dalam komunikasi digital. Penemuan ini diharap dapat mengkayakan khazanah ilmu bahasa Melayu, khususnya dalam bidang morfologi selain memahami penggunaan kata kasar dalam komunikasi digital masyarakat masa kini.