Awalan beR- dalam dialek Bahasa Melayu Kedayan: Satu analisis nahu dan pragmatik (The prefix beR- in the Kedayan Malay dialect: A comparative analysis with standard Malay from the point of view of grammatical and pragmatics)
Main Article Content
Abstract
Bahasa Melayu yang merupakan jenis bahasa aglutinatif membentuk kebanyakan katanya melalui proses pengimbuhan selain penggandaan dan pemajmukan. Pengimbuhan bukan sahaja menerbitkan kata baharu malahan turut mengubah golongan kata dan memberikan makna baharu bagi kata terbitan tersebut. Walau bagaimanapun, pengimbuhan dalam dialek bahasa Melayu adakalanya membentuk kata baharu dengan makna yang berbeza walaupun bentuk katanya sama dengan kata dalam bahasa Melayu Standard. Sehubungan dengan itu, kajian ini diketengahkan bagi meneliti penggunaan awalan beR- dalam dialek bahasa Melayu Kedayan yang terdapat dalam teks ‘Hikayat Awang Kamaruddin’ (HAK) selenggaraan Rahim Dulani (1992). Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kata yang berawalan beR- dan menganalisis makna imbuhan beR- apabila digabungkan dengan kata dasar dalam teks HAK. Analisis imbuhan ini melibatkan dua pendekatan, iaitu menganalisis makna imbuhan berdasarkan pemerian Nik Safiah Karim et al. (2015) dan pendekatan pragmatik iaitu teori Relevans bagi mencerakin makna sebenar yang didukung oleh kata berimbuhan beR- dalam konteks ayat. Gabungan pendekatan nahu dan pragmatik menunjukkan bahawa sebahagian bentuk beR- dalam HAK tidak sepenuhnya sepadan dengan pengertian awalan beR- yang produktif dalam BMS. Misalnya, bentuk kata bercacat, bercabul dan bertinggal didapati sukar dipadankan secara bermakna dengan kata berawalan beR- yang lazim dalam BMS, manakala berlupa dalam konteks HAK lebih munasabah ditafsirkan sebagai bentuk yang menyerupai pasif, iaitu hampir setara dengan dilupakan. Dapatan ini menunjukkan bahawa makna awalan beR- dalam teks HAK tidak dapat dihuraikan secara memadai berdasarkan pendekatan nahu semata-mata, sebaliknya perlu ditafsir dengan mengambil kira konteks ujaran, latar sosial budaya dan inferens pragmatik. Kajian sekali gus memperlihatkan wujudnya variasi dan kemungkinan eveolusi makna imbuhan beR- secara diakronik dalam dialek bahasa Melayu Kedayan.