Realisme magis dan budaya masyarakat Melayu Nusantara dalam novel Cinta Sang Ratu
(Magical realism and Malay Nusantara culture in Cinta Sang Ratu)
DOI:
https://doi.org/10.32890/rentas2025.4.1.16Abstract
Aliran realisme magis wujud dalam karya sastera yang mempunyai gabungan antara dua dunia, iaitu dunia nyata dengan dunia fantasi. Aliran ini memainkan peranan penting dalam dunia sastera kerana memperlihatkan budaya dan adat resam masyarakat di Nusantara melalui cerminan kehidupan yang digambarkan dalam karya sastera. Sehubungan itu, makalah ini berhasrat untuk mengenal pasti tiga prinsip realisme magis Wendy B. Faris (2004), iaitu irreducible elements, merging realms dan disruption of time, space and identity yang terdapat dalam novel Cinta Sang Ratu karya Ramlee Awang Murshid (2007). Selain itu, konteks budaya dan adat resam Melayu Nusantara yang sarat dengan unsur tradisional yang terakam dalam karya ini turut dianalisis menerusi prinsip unsettling doubts. Analisis kandungan diupayakan untuk menganalisis karya berpacukan teori realisme magis. Dapatan kajian menunjukkan bahawa unsur magis seperti unsur sihir, kepercayaan kepada tuhan dan gangguan waktu, yang merupakan antara unsur magis utama, ditonjolkan dalam novel Cinta Sang Ratu. Unsur magis ini memenuhi prinsip teori realisme magis yang telah dikenal pasti. Prinsip realisme magis membuktikan kewujudan gabungan antara dunia nyata dan dunia magis melalui unsur-unsur yang telah dinyatakan. Selain itu, kajian ini juga memberi impak dari sudut pemahaman budaya masyarakat Melayu dari Nusantara, khususnya menerusi kesinambungan budaya seperti aspek Jenglot dan silat antara kedua-dua negara ini yang terdapat dalam Cinta Sang Ratu.






