MANIKAM KALBU ADAT DAN ADAB MELAYU

Main Article Content

Mohd Haniff Mohammad Yusoff

Abstract

Sastera remaja antara cabang yang perlu diberikan perhatian dalam mengetengahkan identiti Melayu sebagai landasan membentuk jati diri dan sahsiah yang berkualiti dalam diri seorang remaja. Masalah lambakan novel remaja yang mengangkat tema pornografi dan tidak menjaga ketertiban bahasa adalah permasalahan yang membimbangkan. Fenomena ini mentamsilkan keterbatasan pengarang dalam mengangkat persoalan yang relevan serta berunsurkan pendidikan khususnya untuk golongan remaja. Penelitian ini menjadikan novel Manikam Kalbu karya Faisal Tehrani sebagai teks kajian. Naskhah Manikam Kalbu telah diangkat sebagai pemenang tempat pertama dalam Sayembara Mengarang Novel sempena perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Keunggulan novel ini turut terserlah apabila dipilih oleh panel penilai sebagai pemenang kategori novel remaja dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) sesi 2006/2007. Makalah ini bertujuan mengenal pasti elemen identiti Melayu yang diungkapkan dalam novel Manikam Kalbu. Pendekatan Sosiologi Sastera oleh Alan Swingewood dijadikan panduan dalam mendasari penelitian ini. Kaedah kualitatif diterapkan bagi mencapai objektif kajian, iaitu dengan menggunakan kaedah pengumpulan data dan kaedah analisis kandungan. Novel Manikam Kalbu menampilkan watak remaja yang ideal serta berupaya menjadi suri teladan kepada golongan pembaca khususnya remaja. Hasil kajian mendapati novel Manikam Kalbu menyerlahkan identiti Melayu seperti busana Melayu, adat Minang, adab memuliakan tetamu dan adat mengadap raja yang boleh mendekatkan golongan remaja pada usul bangsa dan memperkukuhkan jati diri mereka dalam era globalisasi ini.

Metrics

Metrics Loading ...

Article Details

How to Cite
Mohammad Yusoff, M. H. (2023). MANIKAM KALBU: ADAT DAN ADAB MELAYU. RENTAS: Jurnal Bahasa, Sastera Dan Budaya, 2(1), 55–73. https://doi.org/10.32890/rentas2023.2.3
Section
Articles