Hubungan persekitaran sosial dengan tingkah laku dalam kalangan guru pelatih di Universiti Utara Malaysia
DOI:
https://doi.org/10.32890/Kata kunci:
Persekitaran sosial, tingkah laku, guru pelatih, institusi pengajian tinggi, pembangunan moral dan profesionalismeAbstrak
Persekitaran sosial memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku generasi muda selain mempengaruhi perkembangan moral, nilai, dan sumbangan masa depan mereka kepada masyarakat berbilang budaya. Namun, isu sosial seperti penyalahgunaan bahan, buli siber, dan jenayah juvana terus memberi kesan negatif kepada pembangunan moral dan sosial generasi muda. Kekurangan pendekatan yang proaktif untuk mengatasi pengaruh sosial negatif di institusi pendidikan memudaratkan pembentukan akhlak dan profesionalisme guru pelatih secara berkesan. Walaupun kajian-kajian lepas telah melihat persekitaran sosial yang mempengaruhi tingkah laku pelajar, kajian mengenai tingkah laku guru pelatih masih terhad. Kajian ini meneliti hubungan antara persekitaran sosial dengan tingkah laku dalam kalangan guru pelatih di Universiti Utara Malaysia. Kajian ini memberi tumpuan kepada faktor pengaruh ibu bapa, rakan sebaya, dan institusi pengajian tinggi dalam membentuk tingkah laku guru pelatih sebagai bakal pendidik. Pendekatan kuantitatif digunakan menerusi soal selidik yang diedarkan kepada 226 responden, yang dipilih secara
pensampelan rawak mudah. Dapatan kajian mendapati bahawa persekitaran sosial memainkan peranan penting dalam mempengaruhi tingkah laku guru pelatih, dengan faktor pengaruh ibu bapa, rakan sebaya, dan institusi pengajian tinggi memberikan impak yang signifikan. Kajian ini menyerlahkan kepentingan menyediakan persekitaran sosial yang menyokong demi memastikan pembentukan akhlak dan profesionalisme guru yang positif. Implikasi kajian ini meliputi cadangan untuk merangka intervensi dan
dasar pendidikan yang menyeluruh bagi menyokong perkembangan tingkah laku positif dalam kalangan guru pelatih. Kajian ini juga menyumbang kepada perbincangan lebih meluas tentang hubungan antara faktor sosial dengan tingkah laku profesional, secara tidak langsung memberikan input yang bernilai kepada pihak penggubal dasar dan pakar pendidikan.









