PENGAJARAN-PEMBELAJARAN BAHAN SENI BAHASA: APLIKASI SEMANTIK INKUISITIF DAN TEORI RELEVANS

Authors

  • George Romiko Bujang Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
  • Mary Fatimah Subset Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

DOI:

https://doi.org/10.32890/pr2022.4.10

Keywords:

Seni Bahasa; Semantik Inkuisitif; Teori Relevans; Bahasa Figuratif; KBAT

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk mengesan dan menjelaskan makna tersirat dalam bahan seni bahasa melalui pengaplikasian pendekatan semantik inkuisitif (SI) yang diperkenalkan oleh Nor Hashimah Jalaluddin (2014) dan digabungjalinkan dengan Teori Relevans (TR) yang diasaskan oleh Sperber & Wilson (1986, 1995).  Penyelidikan berbentuk kualitatif ini menggunakan kaedah analisis teks terhadap bahan seni bahasa yang terkandung dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK). Kaedah pemerhatian turut dilakukan terhadap 10 orang pelajar Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan Batu Luking yang terletak di daerah Kanowit, Sarawak yang menjadi responden kajian ini.  Hasil kajian mendapati bahawa bahan seni seperti sajak dapat mewujudkan persoalan-persoalan berbentuk kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam kalangan pelajar. Selain itu, kajian ini juga mendapati bahawa makna tersirat yang dihajati penyajak dapat dikesan oleh para pelajar apabila analisis satu persatu pendekatan semantik inkuisitif dilakukan, bermula

dengan analisis semantik skrip, semantik resonans dan seterusnya semantik inkuisitif. Pengaplikasian teori Relevans pada tahap kedua analisis semantik resonans telah menunjukkan bahawa mata pelajaran bahasa Melayu dapat digabungjalinkan dengan pelbagai disiplin ilmu yang lain dan pembelajaran mata pelajaran ini menjadi lebih menarik dan bersifat multi-disiplin.  Kajian ini berupaya dijadikan sebagai sumber rujukan kepada para pengkaji, guru-guru bahasa dan pelajar sekolah khususnya dalam mempelajari dan menelusuri makna yang terkandung dalam bahan seni bahasa. Kajian ini telah mengetengahkan bukti saintifik terhadap ujaran yang digunakan dalam penghasilan sajak sebagai bahan seni bahasa.

Additional Files

Published

2022-07-31