TINGKAH LAKU PELAJAR UNIVERSITI DALAM PENGGUNAAN, PERBELANJAAN DAN PELABURAN (University Students' Behavior in Consumption, Expenditure and Investment)
- Faculty of Economics and Management, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor
Journal of Business Management and Accounting 13(1) (2023) · https://doi.org/10.32890/jbma2023.13.1.6
Abstract
Tingkahlaku penggunaan, perbelanjaan, dan pelaburan dalam kalangan pelajar universiti sangat penting kerana di negara membangun seperti Malaysia, tingkah laku ini memainkan peranan penting sebagai pemangkin pertumbuhan dan pembangunan ekonomi. Penggunaan dan perbelanjaan mendorong pelaburan untuk mencetuskan pertumbuhan ekonomi negara. Kurang kajian yang difokuskan kepada tingkah laku kewangan pelajar universiti dan kebanyakan kajian ini tidak dilakukan secara teori dan hanya tertumpu pada faktor tunggal. Oleh itu, kajian ini adalah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelajar universiti dan untuk mengisi jurang pengetahuan mengenai tingkah laku perbelanjaan, simpanan dan pelaburan mereka. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif di mana data untuk kajian ini diperoleh melalui kaedah tinjauan yang disasarkan kepada pelajar sarjanamuda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebanyak 300 set soal selidik telah diedarkan secara dalam talian. Hasil kajian mendapati rata-rata pelajar universiti menghabiskan lebih 30% daripada duit pembiayaan mereka. Kajian ini juga mendapati bahawa kebanyakan pelajar universiti yang melabur di pasaran saham adalah berisiko dan majoriti pelajar universiti tidak gemar melabur dalam pelaburan berisiko tinggi. Kajian ini mencadangkan bahawa kaedah komunikasi yang lebih baik antara pelajar universiti dan institusi kewangan atau bank melalui media dalam talian seperti melalui e-mel dan komunikasi media sosial adalah salah satu langkah untuk memupuk sikap pelaburan dan penyimpanan dalam kalangan pelajar universiti.
ABSTRACT
The behavior of consumption, expenditure, and investment among university students is very important because in developing countries such as Malaysia, this behavior plays an important role as a catalyst for economic growth and development. Consumption and expenditure drive investment to trigger the country’s economic growth. There are few studies that focus on the financial behavior of university students and most of these studies are not done theoretically and only focus on a single factor. Therefore, this study is to find out more about university students and to fill the knowledge gap about their spending, savings and investment behavior. This research applied quantitative approach where the data for this study is collected through a survey which targeted at Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) undergraduate students. A total of 300 sets of questionnaires were collected online. Results shows that university student spends more than 30% of their financing. This study also found that most university students who invest in the stock market is high risk and majority of university students do not prefer to invest in high-risk investments. This study suggests that better methods of communication between university students and financial institutions or banks is through online media such as via email and social media communication is in order to foster investment and saving attitudes among university students.
Keywords: Behavior, university student, spending patterns, saving, investment.
Keywords: Kelakuan, pelajar universiti, perbelanjaan, simpanan, pelaburan
PENGENALAN
Umur antara 18 hingga 25 tahun merupakan fasa peralihan daripada remaja menjadi dewasa muda. Pada usia ini iaitu fasa dewasa muda, ramai dalam kalangan mereka bergelar pelajar universiti. Belajar di universiti menjadikan kehidupan lebih mencabar serta sukar kerana mereka perlu membuat keputusan untuk diri sendiri. Mereka tidak lagi berada dalam zon selesa ditanggung oleh ibu bapa di rumah. Ini bermakna, mereka perlu belajar berdikari termasuklah dalam pengurusan kewangan. Justeru, dalam hal ini, antara cabaran yang perlu dihadapi oleh pelajar universiti adalah menganggarkan atau menguruskan wang yang dibelanjakan bagi mengelakkan berlakunya tingkah laku kewangan tidak stabil.
Pada zaman dahulu, hanya alat tulis, buku, pakaian, dan barang-barang keperluan belajar berharga rendah sahaja perlu dibeli oleh pelajar. Namun, pada zaman sekarang, keperluan belajar lain yang berharga tinggi seperti komputer riba perlu dibeli. Hal ini berikutan perubahan zaman turut mengubah cara belajar. Komputer riba menjadi keperluan mendesak kepada pelajar universiti untuk digunakan dalam proses pembelajaran dan membuat tugasan belajar. Oleh yang demikian, mereka perlu menguruskan kewangan dengan bijak, terutamanya golongan yang membuat pinjaman pendidikan agar mereka dapat membayar kembali pinjaman pendidikan mereka.
Di Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan sumber utama yang membiayai kos pengajian tinggi. Terdapat juga institusi kewangan lain yang menyediakan pinjaman pendidikan. Dalam hal ini, satu pertiga daripada pelajar universiti mempunyai pinjaman pendidikan, di mana lebih daripada separuh sehingga sekarang mereka mungkin tidak dapat membayar balik pinjaman tersebut.. Ini kerana, sebilangan besar daripada mereka dikaitkan dengan tingkah laku kewangan yang tidak efektif seperti kadar simpanan rendah, penyimpanan fail yang lemah, dan terlibat dengan hutang kad kredit. Oleh itu, pelajar harus memperbaiki tingkah laku kewangan mereka dengan menyedari hakikat bahawa pinjaman tersebut perlu dibayar balik setelah tamat belajar dan mula bekerja.
Untuk menguruskan wang dengan baik, pelajar perlu memahami
bahawa pinjaman pendidikan harus digunakan untuk membiayai kos pengajian seperti yuran pendidikan dan kos peralatan yang diperlukan sahaja. Ia tidak boleh dibazirkan untuk membeli barangan sia-sia. Jika berbuat demikian, mereka sebenarnya telah menyalahgunakan pinjaman pendidikan seterusnya menyebabkan wang untuk menampung kehidupan belajar di universiti tidak mencukupi. Jika perkara itu terjadi, kehidupan mereka sepanjang belajar akan mengalami kesukaran dan ia boleh menatijahkan mereka berhutang pula dengan sumber lain seperti contoh, rakan seuniversiti dan sanak saudara.
Rohani Mohd Shahir, iaitu pengasas dan perunding Pengurusan Kekayaan Hijrah dalam Wacana al-Quran Siri 8 oleh Kumpulan Karangkraf (Sinar Harian, 18 Oktober 2020) bertajuk “Kemuflisan pada Usia Muda” menyatakan bahawa pada zaman dahulu, beliau jarang sekali melihat individu berusia 40 tahun ke bawah berada dalam keadaan muflis. Tetapi sekarang, terdapat peningkatan dalam jumlah anak muda Malaysia yang muflis kerana lima faktor. Antaranya ialah pinjaman peribadi, pinjaman pendidikan, pinjaman kereta, pinjaman gadai janji dan kad kredit. Hal ini dibuktikan melalui statistik pada tahun 2015 hingga 2019, iaitu 85,000 orang yang muflis adalah mereka yang berumur 25 tahun ke bawah.
Berdasarkan data Bank Negara Malaysia pula, simpanan negara
kasar (GNS) turut menurun kepada 24.9% pada tahun 2019 daripada 26.7% pada tahun 2018 dan 29.2% pada tahun 2017. Pada tahun 2018, simpanan kasar Malaysia adalah 26.7% daripada KDNK, di mana ia jauh lebih rendah berbanding 46% di Singapura untuk tahun yang sama. Malah, ia juga lebih rendah daripada negara jiran iaitu Indonesia dan Thailand di mana kedua-duanya mempunyai simpanan kasar 32%. Trend penurunan ini menjadi perhatian utama kerana ia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tidak memperoleh gaji secukupnya untuk menampung perbelanjaan dan terpaksa menggunakan wang simpanan mereka untuk menampung perbelanjaan.
Justeru, kajian ini memberikan tumpuan utama terhadap pelajar universiti. Ini kerana, pelajar universiti merupakan golongan yang akan menguasai pasaran pengguna pada masa akan datang seperti generasi X yang menguasai pasaran pada ketika ini. Dengan generasi X yang semakin tua dan hampir dengan umur persaraan, hal ini menyebabkan populasi mereka semakin kecil. Oleh yang demikian, anak-anak mereka iaitu generasi Y ataupun juga dikenali sebagai pelajar universiti perlu bersedia untuk mengambil alih kedudukan sebagai golongan yang amat besar bagi membuat dasar dan pemasar untuk negara pada masa akan datang.
KAJIAN LEPAS
Ordun (2015) menyatakan bahawa generasi Y sedar mengenai pengurusan kewangan tetapi tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Generasi ini cenderung untuk menghabiskan wang sebaik sahaja mereka mendapatkannya, dan biasanya dihabiskan untuk barang- barang keperluan, sementara segelintir daripada mereka pula tidak sabar untuk terlibat dalam pelaburan dan perniagaan kecil. Menurut Institut Syarikat Pelaburan (ICI), berdasarkan data pada tahun 2010, generasi muda pelabur sekarang cenderung untuk memiliki ekuiti daripada sebelumnya. Bagi pelabur yang lahir pada tahun 1950-an, pemilikan saham meningkat dengan cepat pada usia 35 hingga 45 tahun. Bagi pelabur yang lahir pada tahun 1960-an pula, pemilikan saham meningkat dengan pesat bahkan lebih awal iaitu antara usia 25 hingga 35 tahun. Namun, bagi pelabur yang lahir pada tahun 1970- an, pemilikan saham meningkat dengan cepat dari usia 25 hingga 27 tahun, tetapi merosot selepas itu.
Kajian dari United Kingdom menunjukkan terdapat peningkatan
dalam sikap toleransi terhadap hutang. Hal ini menunjukkan bahawa terdapat hubungan kitaran antara hutang dan sikap prohutang yang berkaitan dengan pengumpulan hutang. Kajian kepentingan sikap terhadap penggunaan kad kredit turut dilakukan di Amerika Syarikat oleh Norvilitis et al. (2006). Ciri-ciri berkaitan yang dikenal pasti sebagai peramal hutang di United Kingdom, New Zealand, dan Amerika Syarikat termasuklah kepuasan dan perbelanjaan kompulsif (Norvilitis et al., 2006; Watson, 2003). Selain itu, kajian di Amerika Syarikat juga menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai tahap kawalan diri yang tinggi cenderung untuk menyimpan wang dan membelanjakan lebih sedikit wang (Baumeister, 2002). Selain itu, mereka juga cenderung untuk terlibat dalam perbelanjaan impulsif (Strayhorn, 2002).
Menurut Martin dan Turley (2004) dan Martin (2005), kohort generasi Y adalah pintar teknologi, berdikari dan pemikir keusahawanan. Generasi Y juga digambarkan sebagai berpendidikan tinggi, yakin, bersemangat, optimis, dan mempunyai kesedaran sosial dengan integriti yang tinggi Geyzel (2009). Hal ini berikutan, mereka lahir dalam era masyarakat elektronik, teknologi dan tanpa wayar di mana tiada lagi sempadan global (Williams dan Page, 2010). Oleh yang demikian, sikap golongan ini terhadap perbelanjaan memainkan peranan penting dalam perspektif kelestarian kewangan dan merupakan pemboleh ubah yang signifikan dalam pengurusan kewangan.
Bagi mereka yang mempunyai pinjaman pendidikan, hutang
pinjaman pendidikan mereka akan menjadi lebih rendah sekiranya mereka mempunyai idea untuk menguruskan kewangan dengan baik (Cummins et al., 2009). Mereka yang mempunyai kemahiran pengurusan kewangan yang tinggi juga dapat mengurangkan risiko jatuh muflis, menerima bantuan kerajaan dan mengelak daripada membuat keputusan pengguna yang buruk (Hayhoe et al., 2000). Ini kerana, menurut Visa USA Inc (2007), pada tahun 2015, golongan muda membelanjakan kira-kira USD2.45 trilion dalam perbelanjaan tahunan. Pengguna daripada golongan ini menghabiskan wang tunai yang diperoleh dengan secepatnya, biasanya pada barangan pengguna dan perkhidmatan peribadi. Hal ini dibuktikan melalui kajian Alch (2000) iaitu pengguna daripada golongan muda membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka pada tiga kategori produk, iaitu pakaian (34%), hiburan (22%), dan makanan (16%).
Pakaian memainkan peranan penting dalam perbelanjaan mereka. Ini kerana, sebahagian daripada mereka menggunakan pakaian untuk bersosial dengan rakan segenerasi seperti contoh, bersama- sama menghabiskan masa di pusat membeli-belah. Mereka sanggup menanggung hutang untuk membuat pembelian berdasarkan jenama dan ia menjadikan seseorang itu materialistik. Hal ini disebabkan sebagai pengguna, golongan muda bersikap bebas, tidak tradisional, canggih, penggemar jenama dan fesyen, namun tidak semestinya setia kepada jenama (Daniels, 2007). Selain itu, Alch (2000) juga mendapati bahawa internet turut menjadi keperluan generasi ini. Internet digunakan untuk mencari maklumat mengenai produk, memahami media dan iklan serta maklumat lain.
Seterusnya, pengguna daripada golongan generasi ini juga mempunyai rangkaian sosial yang luas dan ia mempengaruhi keputusan perbelanjaan mereka. Kajian Waters seperti yang dipetik dalam Daniels (2007) menyatakan bahawa pengaruh mulut ke mulut tidak lagi datang daripada majlis keramaian atau keluarga, tetapi daripada sekumpulan anggota rangkaian dalam talian mereka yang luas. Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan oleh Milner daripada Halstead & Marie (2006) menunjukkan bahawa beberapa ciri ini telah diteliti lebih lanjut seperti kepentingan penggunaan internet dan kad kredit, tetapi hasilnya kurang mendalam dan terperinci.
Penyelidikan mengenai tingkah laku kewangan pelajar di Malaysia telah dilakukan oleh Salikin et al. (2012). Beliau menyebut tentang masalah simpanan wang dalam kehidupan pelajar universiti, seperti tidak pasti di mana wang dibelanjakan, dan mengambil wang daripada ibu bapa atau orang lain tanpa izin untuk perbelanjaan yang didorong oleh kehendak ekonomi. Dalam konteks psikologi, simpanan atau tabungan merujuk kepada proses tidak membelanjakan wang untuk tempoh semasa agar dapat digunakan di masa hadapan. Tingkah laku menabung adalah gabungan persepsi terhadap keperluan masa depan, keputusan menabung dan tindakan menabung. Para pelajar melakukan simpanan untuk mencapai matlamat, melakukan simpanan hingga akhir semester (kebanyakannya adalah untuk percutian), dan untuk membayar hutang. Walau bagaimanapun, menabung adalah berbeza dengan penjimatan. Dalam konteks ekonomi, penjimatan ditakrifkan sebagai baki setelah menolak penggunaan semasa dalam jangka masa tertentu.
Dalam hal pelaburan pula, laporan daripada Pengurusan Pelaburan MFS (2011) yang melakukan tinjauan terhadap pelabur muda berusia antara 18 hingga 30 tahun di USA mendapati bahawa pelabur yang lebih muda risau akan pelaburan mereka, dan sebagai hasilnya mereka melabur secara konservatif. Kajian menunjukkan 40% golongan muda bersetuju bahawa mereka selesa dalam pelaburan pasaran saham, 47% lagi menangguhkan keputusan pelaburan, dan sebanyak 59% pula menganggap diri mereka lebih banyak menyimpan daripada melabur. Dalam hal ini, 30% golongan muda mengatakan bahawa objektif utama pelaburan mereka adalah penyimpanan dan hanya 34% mengatakan bahawa matlamat utama adalah mengembangkan aset.
Kajian Helman dan Sutton seperti yang dilaporkan oleh Chen et al. (2011) mendapati bahawa semakin sedikit orang yang melabur dalam pengurusan kekayaan, peratusan orang yang hampir tidak mempunyai pelaburan dan simpanan untuk persaraan telah meningkat. Keadaan ini dikaitkan dengan kehilangan pekerjaan, gelembung perumahan meletup, dan kehancuran pasaran saham.. Namun, kajian ini juga menunjukkan bahawa keadaan ekonomi tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Ini kerana, semakin awal seseorang mula melaburkan wang mereka, semakin mudah untuk mereka mencapai kebebasan kewangan. Individu yang mula melabur ketika muda lebih cenderung untuk mengembangkan tabiat pelaburan dan cenderung untuk melabur secara konsisten (Hogarth dan Hilgert, 2003).
Oleh yang demikian, kajian ini dijalankan bagi untuk mengetahui sama ada pelajar universiti sudah mula melabur, dan adakah terdapat portfolio yang pelbagai, serta untuk mengenal pasti tahap penerimaan risiko. Justeru, kajian ini menggariskan hipotesis berikut iaitu berkaitan dengan pengaruh sosial dan tingkah laku penyimpanan:
H1a: Terdapat hubungan yang signifikan antara pendidikan mengenai kepentingan menyimpan dan menabung. H1b: Terdapat hubungan yang signifikan antara pengaruh maklumat mengenai penjimatan daripada media dan penjimatan. H1c: Terdapat hubungan yang signifikan antara persiapan untuk ketidakpastian dan penjimatan. H1d: Terdapat hubungan yang signifikan antara penyediaan kecemasan dan pengaruh maklumat mengenai penjimatan daripada media. H1e: Terdapat hubungan yang signifikan antara mencapai kebebasan kewangan dan penjimatan.
Hipotesis berikut dihasilkan pada hubungan antara kawalan diri dan tingkah laku perbelanjaan:
H2a: Terdapat hubungan yang signifikan antara bajet dan perbelanjaan. H2b:Terdapat hubungan yang signifikan antara gangguan dan perbelanjaan. H2c: Terdapat hubungan yang signifikan antara penilaian kos ekonomi dan perbelanjaan. H2d: Terdapat hubungan yang signifikan antara pengikatan masa dan perbelanjaan.
METODOLOGI
Salah satu bahagian paling penting dalam proses tinjauan adalah penentuan sampel. Terdapat pelbagai kaedah untuk memilih sampel dan ia dikategorikan sebagai kebarangkalian dan bukan kebarangkalian.
Populasi kajian yang disasarkan dalam kajian ini adalah pelajar universiti. Soal selidik diedarkan dalam bentuk salinan bercetak dan melalui tinjauan atas talian. Perincian soal selidik akan dijelaskan di bahagian pengenalan soal selidik.
Data untuk tinjauan literatur dan pernyataan masalah dikumpulkan daripada data sekunder. Ia terdiri daripada jurnal, majalah perniagaan atas talian, surat khabar atas talian, dan bahan arkib data daripada Jabatan Perangkaan dan Unit Perancang Ekonomi, iaitu banci penduduk pada tahun 2010. Dalam kajian penyelidikan ini, satu set soal selidik telah dihasilkan mengikut keperluan kajian. Keseluruhan soal selidik adalah soalan tertutup di mana responden harus memilih untuk pratugasan jawab, kecuali bahagian di mana mereka perlu menyatakan peratusan pendapatan bulanan berjimat dan dibelanjakan.
Soal selidik ini ditulis dalam bahasa Melayu. Ia dibahagikan kepada lima (5) bahagian. Bahagian pertama adalah ciri-ciri demografi responden seperti umur, jantina, bangsa, status perkahwinan, minat bekerja semasa, dan pendapatan tahunan. Bahagian kedua soal selidik pula adalah sumber/kaedah maklumat saluran komunikasi yang disukai. Kemudian, bahagian ketiga adalah corak simpanan dan perbelanjaan, pendapatan bulanan yang dibelanjakan dan simpanan. Selain itu, terdapat juga soalan mengenai tujuan simpanan dan kaedah simpanan serta soalan sama ada mereka pernah menghabiskan anggaran, dan adakah mereka memperuntukkan wang untuk kecemasan. Terdapat juga soalan mengenai motivasi menabung dan langkah untuk memastikan penjimatan.
Bahagian empat adalah berkaitan dengan teknik pelaburan. Bahagian ini meminta responden untuk memberikan maklumat jika ada teknik/ kaedah pelaburan yang pernah mereka lakukan sebelumnya. Bahagian terakhir soal selidik ini pula adalah profil risiko, di mana responden ditanya mengenai risiko untuk melabur. Set soal selidik lengkap dilampirkan di bahagian lampiran. Selain soal selidik bercetak, kaedah lain yang digunakan untuk mencari responden bagi menjawab soalan soal selidik ini adalah melalui soal selidik atas talian.
Bagi tinjauan atas talian, pautan ke laman soal selidik dihantar melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook. Kelebihan kaedah ini adalah penjimatan masa dan keberkesanan kos, daya tarikan visual, interaktiviti dan penyertaan responden (Zikmund & Babin, 2007).
Selain itu, tinjauan dalam talian juga amat membantu semasa
pandemik. Seramai 300 responden telah menjawab soal selidik ini melalui borang soal selidik kertas bercetak dan soal selidik atas talian.
Skala Likert jenis 5 mata (1 = Sangat tidak setuju hingga 5 = Sangat setuju) digunakan dalam soal selidik ini. Skala Likert adalah ukuran langsung sikap yang dikembangkan oleh Rensis Likert Keegan (2009). Ia merupakan skala psikometrik yang biasa digunakan dalam soal selidik, dan paling banyak digunakan dalam penyelidikan tinjauan. Ini kerana, skala ini sangat mudah digunakan oleh responden untuk menjawab soal selidik.
Data yang diperoleh daripada borang soal selidik telah menjalani persiapan awal sebelum dianalisis dengan menggunakan teknik statistik. Terdapat banyak perisian di pasaran untuk menganalisis kajian sains sosial. Dalam kajian ini, perisian Pakej Statistik untuk Perisian Sains Sosial (SPSS) versi 22 telah digunakan. SPSS adalah pakej statistik yang baik bagi penyelidik yang ingin melakukan penyelidikan kuantitatif dalam sains sosial. Sebanyak 300 set soalan selidik telah dikumpulkan daripada pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sebelum menganalisis data yang dikumpul, terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti. Prosesnya melibatkan transformasi semua data mentah ke dalam analisis statistik dan diubah ke dalam bentuk yang mudah difahami dan sesuai untuk analisis, seterusnya pengekodan semua soal selidik kepada pemboleh ubah yang mudah dikelaskan. Data yang dikumpulkan daripada soal selidik dimasukkan ke dalam perisian Microsoft Excel untuk memudahkan pengelasan pemboleh ubah dan juga pemeriksaan sebarang data yang hilang. Setelah proses pembersihan data dijalankan, data tersebut diimport ke perisian SPSS bagi menjalankan proses analisis.
Dalam analisis data, taburan frekuensi merupakan salah satu cara untuk meringkaskan set data (Zikmund dan Babin, 2007). Analisis taburan frekuensi adalah taburan matematik di mana objektifnya adalah untuk mendapatkan kiraan nombor daripada tindak balas yang berkaitan dengan nilai berbeza daripada satu pemboleh ubah untuk menyatakannya dikira dari segi peratusan (Malhotra, 2007). Tujuan utama penggunaan penyelidikan deskriptif adalah untuk menggambarkan ciri-ciri objek, orang, kumpulan, organisasi atau persekitaran (Zikmund dan Babin, 2007). Ini kerana, data yang dikumpulkan melalui penyelidikan deskriptif dapat memberikan pandangan berharga mengenai unit kajian bersama ciri-ciri yang relevan. Dalam penyelidikan ini, pengedaran diperoleh untuk semua data peribadi yang merangkumi demografi profil seperti jantina, umur, bangsa, status perkahwinan, pendidikan tertinggi dan pendapatan. Kajian ini akan menggunakan analisis inferensi untuk membuat penilaian terhadap kumpulan sasaran serta memerhatikan dan membandingkan pemboleh ubah bagi menguji signifikan hubungannya untuk menarik generalisasi. Dengan ini, ujian-ujian kepentingan ini dapat menunjukkan kebarangkalian bahawa hasil analisis boleh berlaku secara kebetulan apabila tiada hubungan antara pemboleh ubah yang dikaji terhadap populasi yang disasarkan. Chi- square, iaitu ujian-t sampel dan regresi berganda turut digunakan dalam kajian ini.
HASIL KAJIAN
| Pembolehubah | Kekerapan | Peratus (%) |
|---|---|---|
| Jantina Lelaki | 115 | 38.3 |
| Perempuan | 185 | 61.7 |
| Bangsa | ||
| Melayu | 165 | 55.0 |
| Cina | 46 | 15.3 |
| India | 88 | 29.3 |
| Lain - lain | 1 | 0.3 |
| Tahun Pengajian | ||
| Tahun 1 | 44 | 4.7 |
| Tahun 2 | 85 | 28.3 |
| Tahun 3 | 110 | 36.7 |
| Tahun 4 | 61 | 20.3 |
| Fakulti Pengajian | ||
| FEP | 96 | 32.0 |
| FTSM | 34 | 11.3 |
| FKAB | 26 | 8.7 |
| FSSK | 31 | 10.3 |
| FST | 35 | 11.7 |
| FPEND | 19 | 6.3 |
| FPI | 11 | 3.7 |
| FUU | 24 | 8.0 |
| Lain-lain | 24 | 8.0 |
| Jenis Pembiayaan Pendidikan | ||
| PTPTN | 199 | 66.3 |
| Biasiswa | 66 | 22.0 |
| Waris | 30 | 10.0 |
| Sendiri | 5 | 1.7 |
| Tahap Pembiayaan Pendidikan | ||
| Penuh | 221 | 73.7 |
| Separuh | 79 | 26.3 |
| Bekerja sambilan | ||
| Ya | 87 | 29.0 |
| Tidak | 213 | 71.0 |
Jadual 1 menunjukkan pemboleh ubah demografi yang telah dikaji dalam kalangan pelajar iaitu jantina, bangsa, tahun pengajian, fakulti pengajian, jenis pembiayaan pendidikan, tahap pembiayaan pendidikan, serta taraf pekerjaan pelajar. Bagi profil jantina, majoriti responden adalah perempuan iaitu seramai 185 pelajar (61.7%). Manakala, pelajar lelaki pula seramai 115 pelajar (38.3%). Seterusnya, majoriti responden bagi kategori bangsa pula adalah pelajar berbangsa Melayu iaitu 55.0% (155 responden), sementara 29.3% (88 responden) adalah pelajar berbangsa India, dan diikuti oleh pelajar berbangsa Cina sebanyak 15.3% (46 responden).
Bagi kategori fakulti pengajian pula, sebahagian besar responden adalah daripada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) iaitu sebanyak 32.0% (96 responden), diikuti dengan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) sebanyak 11.7% (35 responden), Fakulti Teknologi Sains dan Multimedia (FTSM) sebanyak 11.3% (34 responden), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian (FSSK) sebanyak 10.3% (31 responden), serta Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) sebanyak 8.7% (26 responden). Fakulti Undang-undang (FUU) dan fakulti lain-lain mempunyai jumlah responden yang sama iaitu masing-masing 8.0% (24 responden), Fakulti Pendidikan (FPEND) sebanyak 6.3% (19 responden) dan paling sedikit adalah Fakulti Pengajian Islam (FPI), iaitu hanya 3.7% (11 responden).
Seterusnya, majoriti responden menyatakan bahawa PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) adalah jenis pembiayaan pendidikan utama bagi mereka iaitu sebanyak 66.3% (199 responden), diikuti dengan biasiswa sebanyak 22.0% (66 responden). Pelajar yang dibiaya pendidikan mereka oleh waris pula adalah sebanyak 10.0% (30 responden), manakala pelajar yang menanggung sendiri pendidikan adalah sebanyak 1.7% (5 responden).
Seterusnya, bagi kategori tahap pembiayaan pendidikan, majoriti responden mendapat tahap pembiayaan penuh iaitu 73.7% (221 responden). Manakala, sebanyak 26.3% (79 responden) lagi mendapat tahap pembiayaan separuh. Akhir sekali, bagi taraf pekerjaan pula, sebilangan besar responden didapati tidak bekerja sambilan iaitu sebanyak 71.0% (213 responden), manakala baki 29.0% (87 responden) lagi membuat kerja sambilan.
| Pembolehubah | Kekerapan | Peratus (%) |
|---|---|---|
| Peratusan (%) daripada pembiayaan yang disimpan | ||
| Kurang daripada 25% | ||
| Lebih daripada 25% | ||
| Cara Penyimpanan | 185 | 61.7 |
| Tabung Amanah | 115 | 38.3 |
| Akaun Simpanan Semasa | 47 | 15.7 |
| Akaun Simpanan Tetap | 264 | 88.0 |
| Saham | 162 | 54.0 |
| Polisi Insuran Pelaburan | 10 | 3.3 |
| Peratusan (%) daripada pembiayaan yang akan dibelanjakan | 8 | 2.7 |
| Kurang daripada 30% | 140 | 46.7 |
| Lebih daripada 30% | 160 | 53.3 |
| Cara Perbelanjaan | 206 | 68.7 |
| Yuran Pendidikan | 166 | 55.3 |
| Perbelanjaan Bulanan (spt Utilili) Pengangkutan | 165 | 55.0 |
| Hiburan dan Percutian Barang Keperluan Harian | 241 | 80.3 |
| Sewa Rumah | 267 | 89.0 |
| Pinjaman Kereta | 19 | 6.3 |
| Tujuan utama Penyimpanan Wang | 31 | 10.3 |
| Percutian | 146 | 8.7 |
| Kecemasan Tidak Dijangka | 271 | 90.3 |
| Pelaburan Masa Depan Mulakan Perniagaan | 131 | 43.7 |
| Wang dahuluan untuk Pembelian Rumah atau Kereta | 56 | 18.7 |
| Kaedah Simpanan yang diminati Akaun Simpanan | 71 | 23.7 |
| Deposit Tetap | 220 | 73.3 |
| Saham | 241 | 80.3 |
| Kumpulam Wang Amanah | 213 | 71.0 |
| Emas | 156 | 52.0 |
| Kekerapan membelanjakan wang ke atas barangan di luar belanjawan | 118 | 39.3 |
| Selalu Jarang | 54 | 18.0 |
| Kadang-kadang | 114 | 38.0 |
| Tidak pernah | 126 | 42.0 |
| Menyimpan dan melabur wang sebanyak mana yang harus | 6 | 2.0 |
| Sebanyak mana yang harus | 83 | 27.7 |
| Patut menyimpan dan melabur lagi | 109 | 36.3 |
| Saya tidak pasti | 108 | 36.0 |
| Peruntukan wang untuk kecemasan | 198 | 66.0 |
| Ya | 102 | 34.0 |
| Tidak | 213 | 71.0 |
| Kaedah pelaburan yang terbaik | 201 | 67.0 |
| Simpanan Tetap di Bank | 157 | 52.3 |
| Unit Amanah Saham Polisi Insurans Pelaburan Membeli Harta Rumah Matawang Asing | 264 | 88.0 |
| Emas | 107 | 35.7 |
| Cara pilihan untuk pembelian saham | 123 | 41.0 |
| Dagang secara online | 110 | 36.7 |
| Melalui wakil saham Melalui pihak orang lain | 180 | 60.0 |
| Pilihan orang untuk mendapatkan | 10 | 3.3 |
| nasihat tentang pelaburan | 143 | 47.7 |
| Rakan-rakan Ahli Keluarga Agen Jualan Bank | 159 | 53.0 |
| Syarikat Unit Amanah Saham Broker Saham | 176 | 58.7 |
| Komuniti Online | 161 | 53.7 |
| Faktor-faktor yang | 134 | 44.7 |
| mempertimbangkan sebelum | 25 | 8.3 |
| melabur | 27 | 9.0 |
| Pulangan Faedah Tinggi | 159 | 53.0 |
| Keselamatan Pelaburan Risiko Rendah | 228 | 76.0 |
| Diikitraf oleh Agensi Disyorkan oleh Firma Broker Saham | 230 | 76.7 |
| Disyorkan kawan dan ahli keluarga | 189 | 63.0 |
| Lain-lain | 81 | 27.0 |
| Pendapat dalam melabur dalam | 61 | 20.3 |
| pasaran saham berisiko | 47 | 15.7 |
| Ya Tidak | 159 | 53.0 |
| Pendapat dalam melabur di saham | 141 | 47.0 |
| Bursa Malaysia | 211 | 70.3 |
| Ya Tidak | 89 | 29.7 |
| Pendapat dalam melabur di pasaran komoditi | 49 | 16.3 |
| Ya Tidak | 251 | 83.7 |
| Pendapat dalam melabur di pasaran mata wang asing | 78 | 6.0 |
| Ya Tidak | 222 | 74.0 |
| Tahap risiko pilihan apabila melabur | 75 | 25.0 |
| Rendah | 145 | 48.3 |
| Sederhaa Tinggi | 59 | 19.7 |
| Sangat Tinggi | 21 | 7.0 |
Jadual 2 menunjukkan analisis corak penyimpanan, perbelanjaan dan pelaburan pelajar dengan 18 jenis pemboleh ubah, iaitu cara penyimpanan, peratusan daripada pembiayaan yang dibelanjakan, cara perbelanjaan, tujuan utama penyimpanan wang, kaedah simpanan yang lebih digemari, kekerapan membelanjakan wang ke atas belanjawan, jumlah wang yang disimpan dan dilabur, peruntukan wang untuk kecemasan, kaedah pelaburan yang terbaik, kaedah pembelian saham, pilihan orang untuk mendapatkan nasihat tentang pelaburan, faktor-faktor yang akan dipertimbangkan sebelum melabur, pendapat mengenai melabur dalam pasaran saham yang berisiko, pendapat tentang pelaburan di Bursa Malaysia, pendapat tentang pelaburan di pasaran komoditi, pendapat tentang pelaburan di pasaran mata wang asing serta pilihan risiko semasa pelaburan.
Bagi kategori peratusan daripada pembiayaan yang disimpan oleh pelajar, 61.7% (185 responden) responden menyimpan wang lebih 30% daripada keseluruhan pembiayaan. Manakala, baki 38.3% (115 responden) adalah pelajar yang menyimpan wang kurang 30% daripada keseluruhan pembiayaan. Bagi kategori cara penyimpanan pelajar, majoriti pelajar memilih Akaun Simpanan Semasa sebagai cara penyimpanan utama iaitu sebanyak 88.0% (264 responden), dan diikuti dengan Akaun Simpanan Tetap sebanyak 54.0% (162 responden), Tabung Amanah 15.7% (47 responden), saham 3.3% (10 responden) serta polisi insuran pelaburan sebanyak 2.7% (8 responden). Seterusnya, bagi kategori peratusan daripada pembiayaan yang dibelanjakan oleh pelajar, hasil mendapati bahawa 53.3% (160 responden) membelanjakan wang lebih 30% daripada keseluruhan pembiayaan. Manakala, baki 46.7% (140 responden) adalah pelajar yang membelanjakan wang kurang 30% daripada keseluruhan pembiayaan.
Bagi kategori cara perbelanjaan pula, hasil menunjukkan bahawa majoriti pelajar membelanjakan wang kepada barang keperluan harian iaitu sebanyak 89.0% (267 responden), diikuti dengan hiburan dan percutian 80.3% (241 responden), yuran pendidikan 68.7% (206 responden), perbelanjaan bulanan (seperti utiliti) 53.3% (166 responden), pengangkutan 55.0% (165 responden), sewa rumah 6.3% (19 responden) dan pinjaman kereta 10.3% (31 responden). Seterusnya, bagi tujuan penyimpanan wang, majoriti dalam kalangan pelajar menyimpan untuk digunakan pada waktu kecemasan yang tidak dijangka, iaitu 90.3% (271 responden), diikuti dengan percutian 48.7% (146 responden), pelaburan masa depan 43.7% (131 responden), wang pendahuluan untuk pembelian rumah atau kereta 23.7% (71 responden) dan memulakan perniagaan 8.7% (56 responden).
Bagi kategori kaedah penyimpanan yang paling digemari dalam
kalangan pelajar, majoriti responden memilih deposit tetap, akaun simpanan dan saham iaitu masing-masing sebanyak 80.3% (240 responden), 73.3% (220 responden) dan 71.0% (213 responden), diikuti dengan Kumpulan Wang Amanah 52.0% (156 responden) dan emas iaitu 39.3% (118 responden). Bagi kategori kekerapan pelajar yang membelanjakan wang luar belanjawan, sebanyak 42.0% (126 responden) menyatakan bahawa “Kadang-kadang”, dan 38% (118 responden) menyatakan “Jarang”. Pilihan “Selalu” dan “Tidak Pernah” pula masing-masing sebanyak 18.0% (54 responden) dan 2.0% (6 responden).
Pemboleh ubah seterusnya adalah jumlah wang yang perlu disimpan oleh pelajar untuk tujuan melabur dan menyimpan. Sebilangan besar pelajar memilih pilihan “Patut menyimpan dan melabur lagi” iaitu sebanyak 36.3% (109 responden), diikuti dengan pilihan “Saya tidak pasti” sebanyak 36.0% (108 responden) dan 27.7% (83 responden) memilih “Sebanyak mana yang harus”. Bagi peruntukan wang untuk kecemasan, majoriti pelajar menjawab “Ya” iaitu sebanyak 66.0% (198 responden), dan baki 34.0% (102 responden) lagi menjawab “Tidak”. Bagi kategori kaedah pelaburan yang difikir terbaik oleh pelajar, hasil menunjukkan tiga pilihan paling tinggi adalah membeli harta rumah, simpanan tetap di bank dan Unit Amanah Saham, iaitu masing-masing sebanyak 88.0% (264 responden), 71.0% (213 responden) dan 67.0% (201 responden). Kemudian, masing-masing memilih Polisi Insurans Pelaburan iaitu 52.3% (157 responden), emas 41.0% (123 responden), dan mata wang asing 35.7% (107 responden).
Bagi kategori pemilihan cara pembelian saham, majoriti pelajar memilih “Melalui wakil saham” iaitu sebanyak 60.0% (180 responden), diikuti dengan pilihan “Dagang secara atas talian” sebanyak 36.7% (110 responden) serta “Melalui pihak orang lain” iaitu 3.3% (10 responden). Pemboleh ubah seterusnya iaitu pilihan penasihat tentang pelaburan mendapati bahawa majoriti pelajar memilih agen jualan, bank dan ahli keluarga iaitu masing-masing sebanyak 58.7% (176 responden), 53.7% (161 responden) dan 53.0% (159 responden). Kemudian, diikuti oleh rakan-rakan, syarikat Unit Amanah Saham, komuniti online dan broker saham iaitu masing-masing sebanyak 47.7% (143 responden), 44.7% (134 responden), 9.0% (27 responden) serta 8.3% (25 responden).
Bagi kategori faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum melabur, sebilangan besar pelajar memilih faktor risiko rendah, keselamatan pelaburan dan diiktiraf oleh agensi iaitu masing-masing sebanyak 76.7% (230 responden), 76.0% (228 responden) dan 63.0% (189 responden). Kemudian, diikuti oleh faktor pulangan faedah tinggi, disyorkan oleh firma broker saham, serta disyorkan oleh kawan dan ahli keluarga dan lain-lain, iaitu masing-masing sebanyak 53.0% (159 responden), 27.0% (81 responden), 20.3% (61 responden) serta 15.7% (47 responden). Pada bahagian pendapat pelajar untuk melabur di pasaran yang berisiko, majoriti daripada mereka iaitu 53.0% (159 responden) menjawab “Ya”, dan baki 47.0% (141 responden) menjawab “Tidak”.
Pemboleh ubah seterusnya adalah kegemaran pelajar untuk melabur di saham Bursa Malaysia. Sebahagian besar pelajar memilih pilihan “Ya”, iaitu sebanyak 70.3% (211 responden) dan baki 29.7% (89 responden) lagi memilih pilihan “Tidak”. Dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa majoriti pelajar iaitu 83.7% (251 responden) memilih pilihan “Tidak” bagi pendapat tentang melabur dalam pasaran komiditi dan baki 16.3% (49 responden) lagi telah memilih “Ya”. Bagi kategori tentang pendapat pelajar dalam pelaburan mata wang asing pula, hasil mendapati bahawa majoriti pelajar iaitu 74.0% (222 responden) memilih pilihan “Tidak” dan 26.0% (78 responden) memilih pilihan “Ya”. Bagi kategori tahap risiko untuk melabur oleh pelajar, majoriti memilih pilihan “Sederhana” iaitu 48.3% (145 responden), diikuti dengan pilihan “Rendah” iaitu 25.0% (75 responden), pilihan “Tinggi” 19.7% (59 responden) serta pilihan “Sangat Tinggi” iaitu 7.0% (21 responden).
| Pemboleh ubah | Min | Sisihan Piawai |
|---|---|---|
| i) Sejak kecil saya telah dididik mengenai kepentingan penjimatan | 3.94 | 0.745 |
| ii) Tabiat menyimpan saya dipengaruhi oleh maklumat daripada sumber media | 3.60 | 0.838 |
| iii) Saya menyimpan kerana bimbang akan situasi yang tidak dijangka | 4.02 | 0.696 |
| iv) Saya menyimpan untuk mencapai kebebasan kewangan | 4.01 | 0.752 |
Jadual 3 menunjukkan analisis skala Likert. Dalam analisis ini, empat jenis pemboleh ubah telah dikaji dengan 1 hingga 5 jenis skala pilihan iaitu skala 1 sebagai Sangat Tidak Setuju, skala 2 sebagai Tidak Setuju, skala 3 sebagai Neutral, skala 4 sebagai Setuju dan skala 5 sebagai Sangat Setuju. Analisis ini mendapati bahawa pengagihan min bagi pemboleh ubah pertama adalah 3.94, iaitu lebih dekat dengan skala 4 iaitu skala Setuju. Manakala bagi pemboleh ubah kedua pula, pengagihan min adalah sebanyak 3.60 iaitu antara skala Neutral dan skala Setuju. Seterusnya, bagi pemboleh ubah ketiga dan keempat, masing-masing memperoleh min 4.02 dan 4.01, iaitu kedua-kedua pemboleh ubah ini lebih dekat dengan skala 4 iaitu skala Setuju.
PERBINCANGAN
Objektif pertama kajian ini adalah untuk mengetahui hal penggunaan dan perbelanjaan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dari segi perbelanjaan, dikenal pasti bahawa pelajar membelanjakan secara purata 89.0% daripada pembiayaan ataupun elaun kepada barang keperluan harian, diikuti dengan hiburan dan percutian sebanyak 80.3%, yuran pendidikan sebanyak 68.7%, perbelanjaan bulanan (seperti utiliti) sebanyak 55.3%, pengangkutan sebanyak 55.0%, pinjaman kereta sebanyak 10.3% serta sewa rumah sebanyak 6.3%. Dari segi membelanjakan wang daripada bajet mereka pula, hasil kajian mendapati bahawa 42.0% pelajar menyatakan kadang- kadang sahaja membelanjakan wang daripada bajet, 38.0% daripada mereka menyatakan jarang, 18.0% menyatakan selalu dan 2.0% lagi menyatakan bahawa tidak pernah membelanjakan wang daripada bajet belanjawan mereka.
Objektif seterusnya adalah menentukan tahap dan bentuk simpanan yang dilakukan oleh pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dari segi jumlah simpanan, 61.7% menyimpan wang lebih 30% daripada keseluruhan pembiayaan dan 38.3% lagi menyimpan wang kurang 30% daripada keseluruhan pembiayaan. Kemudian, dari segi cara simpanan pula, Akaun Simpanan Semasa dan Akaun Simpanan Tetap merupakan pilihan utama iaitu masing-masing 88.0% dan 54.0%. Seterusnya, dari segi tujuan utama penyimpanan, kajian mendapati bahawa 90.3% pelajar menyimpan untuk digunakan pada saat kecemasan tidak dijangka, 48.7% untuk percutian, 43.7% untuk pelaburan masa depan, 23.7% untuk wang pendahuluan pembelian rumah atau kereta dan baki 18.7% untuk memulakan perniagaan. Hasil kajian ini juga menunjukkan bahawa terdapat hubungan positif antara pendidikan kepentingan menabung, pengaruh maklumat daripada media, persiapan untuk ketidaktentuan, persiapan kecemasan dan untuk mencapai kebebasan kewangan.
Objektif seterusnya ialah mengkaji kaedah pelaburan yang
diamalkan oleh pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia. Hasil kajian menunjukkan kaedah pelaburan yang difikirkan terbaik oleh pelajar universiti ini adalah membeli harta rumah (88.0%), manakala yang paling tidak digemari pula ialah pelaburan dalam mata wang asing (35.7%). Hasil analisis juga menunjukkan bahawa faktor-faktor utama yang akan dipertimbangkan sebelum melabur adalah; risiko rendah (76.7%), keselamatan pelaburan (76.0%), dan diiktiraf oleh agensi (63.0%). Faktor yang paling kurang dipertimbangkan pula termasuklah pulangan faedah tinggi (53.0%), disyorkan oleh kawan dan ahli keluarga (20.3%) serta lain-lain (15.7%).
Objektif seterusnya dalam kajian ini ialah menilai kesedaran
pengurusan risiko dalam pelaburan bagi pelajar universiti. Hasil daripada Jadual 2 mendapati bahawa 53.0% pelajar berpendapat bahawa melabur dalam pasaran saham adalah berisiko. Selain itu, analisis tersebut juga menunjukkan bahawa 29.7% pelajar kurang suka melaburkan wang mereka dalam saham Bursa Malaysia. Kemudian, dari segi memperoleh nasihat tentang pelaburan, pelajar universiti lebih suka mendapatkan nasihat daripada agen jualan (58.7%), bank (53.7%) dan ahli keluarga (53.0%). Namun, mereka paling tidak suka untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada broker saham (8.3%).
Oleh kerana pelajar universiti lebih suka mendapatkan khidmat nasihat pelaburan daripada pihak bank, maka bank dan institusi kewangan yang berusaha menarik pelajar universiti untuk melabur perlu memperkenalkan tawaran baharu yang sesuai dengan keperluan mereka. Perkara ini termasuklah produk dan perkhidmatan yang inovatif, kadar faedah khas, serta tiada yuran transaksi. Bank-bank ini juga perlu menunjukkan minat untuk menggunakan saluran komunikasi media sosial yang disukai oleh golongan ini seperti Facebook. Laman Facebook bank boleh dimanfaatkan untuk tujuan tinjauan pendapat, perkongsian ilmu petua simpanan, dan maklum balas pelanggan.
Antara cara lain untuk menarik golongan ini adalah meningkatkan fungsi laman web bank seperti dapat membuat anggaran peribadi dan aplikasi perancangan kewangan, di mana pelanggan dapat melihat persembahan produk dan menjalankan fungsi perbankan harian atas talian dengan pakar perkhidmatan jarak jauh. Selain itu, pihak bank juga boleh membangunkan aplikasi telefon pintar yang dapat memberikan akses lancar ke atas kewangan pelanggan. Aplikasi ini perlu menggabungkan visualisasi dan maklumat kontekstual untuk menyampaikan implikasi dan hubungan antara data kewangan. Ia juga harus merangkumi ciri-ciri seperti penunjuk grafik dana yang ada, dan aplikasi simpanan yang menetapkan peraturan mengenai perbelanjaan. Dengan ini, pelanggan dapat memperoleh kawalan langsung ke atas wang mereka.
Selain itu, bank juga harus menawarkan pengurusan kewangan
peribadi percuma yang memenuhi keperluan pelajar universiti seperti memperkenalkan perkhidmatan kewangan yang tepat, mendidik dan membantu mereka untuk menggunakan produk dan perkhidmatan ini bagi mencapai kebebasan kewangan. Oleh kerana sebahagian besar pelajar universiti tidak mempunyai portfolio dalam pelbagai pelaburan dan berpendapat bahawa melaburkan wang dalam stok adalah berisiko, maka institusi kewangan juga boleh memberi nasihat kepada golongan ini untuk melabur dalam komoditi seperti emas kerana nilai emas kekal stabil selama beberapa dekad dan ia merupakan pelaburan yang tidak berisiko.
Pelajar universiti merupakan golongan yang sangat berbeza dengan kumpulan generasi mereka yang lain. Justeru, bank dan institusi kewangan perlu memahami keperluan mereka dan perlu menggunakan pendekatan berbeza daripada apa sahaja yang sudah menjadi kebiasaan bagi menarik mereka untuk membuat pelaburan.
KESIMPULAN
Hasil kajian ini penting kepada pembuat dasar seperti kerajaan dan peniaga dalam menyediakan produk yang sesuai dan perkhidmatan yang selaras dengan tingkah laku penggunaan, perbelanjaan, dan pelaburan. Oleh kerana terdapat limitasi dalam kajian ini, maka kajian lanjutan dicadangkan untuk dilakukan oleh penyelidik pada masa hadapan. Ini kerana, pendidikan dalam perancangan kewangan adalah penting untuk graduan. Ia harus diakui sebagai salah satu kemahiran hidup yang mendorong disiplin diri. Peribadi yang baik dalam pengurusan kewangan adalah penting bagi graduan hari ini kerana mereka merupakan pemimpin pada masa hadapan. Justeru, penyelidik seterusnya perlu merancang untuk memperluaskan penyelidikan ini kepada orang lain dan institusi pengajian tinggi swasta untuk mengumumkan mengenai penemuan perkara ini. Kajian lanjutan mungkin boleh mempertimbangkan untuk memperluaskan kajian seumpama ini dalam kalangan pelajar universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta lain.
PENGHARGAAN
Kajian ini disokong oleh Dana Endowmen RHB-UKM (RHB- UKM-2021-003).
References
- Alch, M. L. (2000). The echo-boom generation: A growing force in American society. The Futurist, 34(5), 42.
- Baumeister, R. F., Twenge, J. M., & Nuss, C. K. (2002). Effects of social exclusion on cognitive processes: anticipated aloneness reduces intelligent thought. Journal of Personality and Social Psychology, 83(4), 817.
- Chen, F., Hope, O. K., Li, Q., & Wang, X. (2011). Financial reporting quality and investment efficiency of private firms in emerging markets. The Accounting Review, 86(4), 1255-1288.
- Cummins, J. (2009). Literacy and English-Language Learners: A Shifting Landscape for Students, Teachers, Researchers, and Policy Makers. Educational Researcher. 38, 382-384.
- Daniels, S. (2007) Gen Y Considerations for the Retail Industry. http://www.buseco.monash.edu.au/centres/acrs/research/ whitepapers/generation-y.pdf (Diakses pada 20 Disember 2020).
- Halstead, K. M. (2006). Socialization Agents Influencing Anglo and Hispanic American Generation Y females’ apparel consumption. The University of North Carolina at Greensboro. https://libres.uncg.edu/ir/uncg/f/umi-uncg-1094.pdf (diakses pada 20 Disember 2020).
- Hayhoe, C. R., Leach, L. J., Turner, P. R., Bruin, M. J., & Lawrence, F. C. (2000). Differences in spending habits and credit use of college students. Journal of Consumer Affairs, 34(1), 113-133.
- Hogarth, J. M., Beverly, S. G., & Hilgert, M. (2003). Patterns of financial behaviors: Implications for community educators and policy makers. Investment Company Institute. Website: https://www.ici.org/
- Martin, C. A., & Turley, L. W. (2004). Malls and consumption motivation: An exploratory examination of older Generation Y consumers. International Journal of Retail & Distribution Management, 32(10), 464-475.
- Martin, C. A. ( 2005). From high maintenance to high productivity: What managers need to know about Generation Y. Industrial and Commercial Training, 37(1), 39-44. MFS Investing Sentiment Survey: Shift to Cash is Deliberate, Fundamental Change for Investors. Retrived from: http://www. businesswire.com/news/home/20110808006004/en/MFS-Investing-Sentiment-Survey-ShiftCash-Deliberate.
- Norvilitis, J. M., Merwin, M. M., Osberg, T. M., Roehling, P. V., Young, P., & Kamas, M. M. (2006). Personality factors, money attitudes, financial knowledge, and credit-card debt in college students. Journal of Applied Social Psychology, 36(6), 1395-1413.
- Ordun, G., Millennial. (2004). (Gen Y) consumer behavior their shopping preferences and perceptual maps associated with brand loyalty. Canadian Social Science, 11(4), 40-55.
- Salikin, N., Ab Wahab, N., Zakaria, N., Masruki, R., & Nordin, S. N. (2012). Students’ Saving Attitude: Does Parents’ Background Matter?. International Journal of Trade, Economics and Finance, 3(6), 479.
- Strayhorn Jr, J. M. (2002). Self-control: Theory and research. Journal of the American Academy of Child & Adolescent Psychiatry. 41(1), 7-16.
- Watson, J. C. (2003). Overcoming the challenges of counseling college student athletes. ERIC Clearinghouse on Counseling and Student Services. https://www.counseling.org/Resources/ Library/ERIC%20Digests/2003-01.pdf. (diakses pada 20 Disember 2020).