Pengaruh Rakan Sebaya ke atas Penyalahguna Dadah Wanita

  • MAHMOOD NAZAR MOHAMED UUM College of Arts and Sciences Universiti Utara Malaysia
  • SABITHA MARICAN Department of Administrative Studies and Politics, Faculty of Economics and Administration, University of Malaya

Abstract

Di negeri Sabah, statistik penglibatan wanita di dalam gejala penagihan dadah adalah yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Penglibatan wanita di Sabah dalam gejala penagihan dadah membabitkan gadis berusia dari seawal remaja sehinggalah wanita yang berusia empat puluhan tahun,bukan semata-mata disebabkan kenikmatan dadah itu sendiri tetapi didorong oleh faktor lain seperti ingin menjaga kecantikan dan menguruskan badan. Dadah yang lazimnya digunakan penagih wanita di Sabah adalah jenis Syabu kerana ia mudah diperoleh dan dengan harga yang lebih murah berbanding heroin dan ganja. Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti profil penagih dadah wanita di negeri Sabah, mengkaji punca-punca yang menyebabkan penglibatan wanita dengan dadah, menentukan sama ada faktor rakan sebaya memainkan peranan penting dalam penglibatan mereka dengan dadah, dan mengemukakan cadangan program atau strategi yang lebih praktikal dan berkesan untuk menangani masalah penglibatan wanita dengan dadah. Kajian ini berbentuk tinjauan keratan rentas terhadap 96 responden yang terdiri daripada pengguna dan penagih dadah wanita di negeri Sabah yang ditempatkan di Pusat Serenti Bachok, Kelantan dan di penjara-penjara sekitar negeri Sabah seperti Penjara Wanita Kota Kinabalu, Penjara Tawau dan juga Penjara Sandakan. Profil penagih dadah wanita Sabah menunjukkan bahawa paling ramai adalah dari etnik Bajau, Kadazan dan Melayu; ramai beragama Islam, mempunyai pendidikan rendah dan sederhana, dan selalu terlibat dengan masalah disiplin di sekolah. Hasil kajian turut membentangkan maklumat pekerjaan seperti ramai yang bekerja kilang dan di pusat hiburan dengan pendapatan yang rendah sederhana, maklumat rakan sebaya, jenis dadah yang digunakan serta siapa yang berpengaruh ke atas penggunaan dadah. Ramai yang menggunakan dadah kerana perasaan ingin tahu atau mempunyai masalah kesihatan mental seperti untuk menghilangkan stres, perpecahan dalam keluarga, melarikan diri dari masalah dan mencari ketenangan. Rata-rata penagih dadah wanita Sabah mula merokok pada umur 16 tahun, minum minuman keras pada purata umur 17 tahun, menggunakan dadah pada purata umur 19.8 tahun, dan bagi yang terlibat dengan jenayah, umur pertama mereka terlibat dengan perbuatan jenayah ialah 21 tahun. Kajian ini memberi beberapa cadangan yang berkaitan dengan strategi rawatan, pemulihan dan pencegahan untuk dilaksanakan oleh agensi kerajaan dan NGO di negeri Sabah. Kajian turut mencadangkan agar pelan tindakan untuk mengatasi masalah penagihan dadah dirangka agar ia boleh digerakkan oleh semua pihak bertanggungjawab.

Published
2012-10-01
How to Cite
MOHAMED, MAHMOOD NAZAR; MARICAN, SABITHA. Pengaruh Rakan Sebaya ke atas Penyalahguna Dadah Wanita. Jurnal Pembangunan Sosial, [S.l.], v. 15, p. 111-129, oct. 2012. ISSN 2600-8165. Available at: <http://e-journal.uum.edu.my/index.php/jps/article/view/15795>. Date accessed: 21 jan. 2022.